Rabu, 25 September 2013

                                                       






    
AKU DAN SEBUAH PILU


       Alhamdulillah... sesampai sahaja di rumah emak petang itu, aku terus meluru ke muka pintu. Suasana senyap dan sunyi. Perlahan-lahan aku melangkah emmm... pintu dapur, pintu depan, pintu bawah dan pintu belakang semuanya terbuka luas. Aku terkesima kerana dari celahan tangga aku nampak wajah emak sedang tidur dengan nyenyaknya di atas kerusi malas depan tv.

       Bagai seorang pencuri lagaknya aku terhendap-hendap, kalau boleh aku tidak mahu mengejutkan emak yang sedang lena dibuai mimpii... namun baru beberapa anak tangga kupijak, tiba-tiba mata emak terbuka.... terus memandang aku yang terhenti melangkah... " mimpi ke aku ni?"" bisik emak sambil menenyeh-nenyeh matanya. Aku tersenyum sambil membatukan diri. "La... anak aku balik!!".. jerit emak separuh gembira. Aku rasa bersalah pulak kerana tidak memberitahu emak yang aku nak balik. 

       " Betul ke anak aku balik?", soal emak kurang pasti. Aku yang masih tercegat di atas tangga cuma tersenyum melihat telatah emak yang mencuit hati itu.
       "Biar betul budak ni, hujan tak ada, ribut tak ada, top-top ada balik", rungut emak lagi. Aku sudah mula tergelak panjang. Sambil melangkah ke arah emak yang masih belum berganjak dari kerusi malasnya. 
       " Ni Kak Ngah, balik ni.. saja jer nak suprise kat emak". Aku mula bersuara setelah terdiam sejak tadi. Tangan emak kucium seperti biasa dan satu ciuman hangat singgah ke pipi emak yang putih bersih itu. Selepas itu disusuli oleh anak-anak dan suamiku. Ah! lega rasanya, akhirnya kami sampai ke rumah emak dengan selamat.
       "Kenapalah, semua pintu rumah ni ternganga... kalau pencuri masuk tadi macam mana?", aku mengubah topik perbualan. Emak sudah bangun dari kerusi malas sambil mengikat rambutnya yang panjang itu. Aku memerhati sekeliling rumah.

       "Alah.... siapa nak masuk rumah ni, bukannya ada apa?". Balas emak sambil tergelak kecil. Tadi waktu aku menaiki tangga, boleh pulak emak terjaga. Hairan juga aku, dalam nyenyak tidurnya itu boleh pula emak terjaga dan objek pertama yang dilihatnya adalah aku.... tentunya emak terperanjat tadi, kesian emak.
       "Dah makan?", tanya emak sambil mahu ke dapur.
       "Dah pukul berapa ni emak... takkanlah kami belum makan". Aku menegah emak ke dapur. Sebenarnya kami dah makan di bandar Temerloh tadi. Emak duduk semula di kerusi malas.

       "Apak macam mana?", soalku tiba-tiba. Wajah emak kelihatan murung. Rupanya suamiku dah berada di dapur disisi apak yang terbaring di atas tilam. Sedang angin petang masuk dan keluar dengan bebasnya di dalam rumah emak. 
       "Macam tulah.... ". Keluh emak sambil memuncungkan mulutnya. Aku menapak ke dapur. Suamiku sudah duduk bersila mengadap apak. Rancak juga mereka berborak, biarpun dalam ketidakselesaan. 
Seperti yang diberitahu oleh emak keadaan apak dalam telefon, seperti itulah yang aku liihat. Biarpun agak payah untuk apak bercakap namun apak masih mahu bercerita. Sangat-sangat mengharukan bila mendapat khabar yang apak tiba-tiba terkena strok.

       Siapa sangka, suamiku tiba-tiba bersetuju untuk pulang ke kampung bila mendapat khabar tentang apak yang tiba-tiba jatuh dan terkena strok. Selalunya puas aku merengek, tetapi kali ini Allah mempermudahkannya. Alhamdulillah... Sebagi seorang isteri penjual ikan aku kenalah akur tentang masalahnya. Dia tidak boleh cuti mengejut, kerana pelanggan tetapnya akan menunggu seharian di tepi jalan. Kadang-kadang aku sampai merajuk kerana payah sangat hendak kemana-mana, tetapi kali ini macam mudah sahaja.

       Selepas berbual-bual dengan apak dan emak, aku sudah dilanda kegelisahan yang amat sangat. "Macam mana nak beritahu emak ni?" fikirku sendirian. Seusai minum petang, aku sudah mula gelisah. Kupandang wajah suamiku dalam-dalam mestikah aku yang memberitahu?. Ah!... aku mengeluh... payahnya nak ku berdepan dengan situasi sebegini, tetapi aku kan dah janji... maka kenalah aku tunaikan.
       "Emak, kami dah nak balik ni". Aku memberanikan diri bersuara. Wajah emak kelihatan sedikit terkejut.
       "Hai.. takkan cepat sangat, macam orang cek api jer". Aku senyum mengunyah resahku sendiri. Aku pandang wajah suamiku, harap-harap dia mahu menolongku keluar dari delima. 
       "Esok budak-budak sekolah,". Tiba-tiba suamiku bersuara juga.
       "Saya pun esok niaga". Tambah suamiku lagi. Aku sedikit lega kerana tidak payah mengeluarkan kata-kata lagi. Harap-harap emak tidak terasa hati. Aku bangkit dari dudukku, mengemas pinggan mangkuk. Pisang goreng yang tidak habis ku letakkan di bawah tudung saji. Emak terdiam, apak masih terbaring di tempatnya. Terasa angin petang itu berhenti bertiup. 

       "Yelah... nak buat macam mana, datang macam cek api jer, hujan tak ada, ribut tak ada, top-top muncul jer... pastu dah nak balik". 
       "Nanti cuti panjang, kita orang balik lagi". Aku mula memujuk. Sebenarnya hati aku pun tak sedap memperlakukan begitu kepada emak, tetapi itulah kenyataannya.

       Aku melangkah juga, emak tetap tersenyum manis di tangga melambai kepulangan kami. Aku terharu terasa diriku kejam. Namun apa yang boleh aku buat, selebihnya kuserahkan pada Allah.

       Sepanjang perjalanan pulang aku keletihan. aku cuma mendiamkan diri sambil memandang dua puteriku yang nyenyak di belakang. Suamiku juga terdiam mungkin kepenatan dari pagi tadi memandu kemudian petang ini terpaksa pula menyambung pemanduan lagi. Aku mencari ruang untuk beristerirehat sebaik mungkin. Aku melontarkan pandangan ke luar. Pokok-pokok getah seperti berlari-lari mengejar kenderaan kami. Matahari petang juga sudah kekuningan di ufuknya. Aku terlentuk.

       Aku terasa seperti berada di dalam kelas 5 sains. Di hadapan kelas sedang berlangsung permainan "Language Games". Dalam permainan tersebut tidak boleh menyebut perkataan "yes" dan "no". Sesiapa yang menyebut yes dan no automatik gagal dan tersingkir. Aku begitu asyik memerhatikan kawan-kawanku bermain. Kumpulanku sudah beberapa kali gagal dan hampir tewas kepada pasukan lawan. Permainan itu sedang dikendalikan oleh guru Bahasa Inggeris Mr. Govi. Sebagai murid paling pendiam di dalam kelas aku cuma memerhati dan jarang-jarang terlibat dalam aktiviti seperti itu.

       Tiba-tiba namaku terpacul dari mulut seorang budak lelaki. Rupanya giliran aku sudah tiba. Lambat-lambat aku melangkah ke depan kelas. Semua mata memandang aku. Pelbagai pertanyaan diasakkan kepadaku. Alhamdulillah aku dapat menjawab semuanya tanpa menyebut yes dan no. Kumpulan kami mendapat banyak mata. Kumpulan kami hampir menang. Belum pun sempat hendak merasa lega, tiba-tiba...  salah seorang budak lelaki yang nakal mengajukan satu soalan cepu emas dalam bahasa Inggeris kepadaku. aku terkesima. Apalah punya soalan. 

       "Do you like me?", semua mata terarah padaku. Murid lelaki itu tersipu tunduk memandang mejanya sendiri. Aku terdiam agak lama mencari-cari jawapan yang tepat untuk soalan itu. Cikgu Govi tersenyum padaku. Aku buat-buat tidak nampak.

       "I dont like you", jawabku bersahaja diikuti dengan sorakan mengejek. idak kusangka murid pendiam sepertiku ini akan diajukan soalan yang sebegitu. Paling trajis sekali murid lelaki itu adalah murid yang paling handsome dalam kelasku dan paling ramai peminat. Oh!...  tiba-tiba aku rasa malu diperlakukan begitu, bagaimana hendak kuberdepan dengan hari-hari seterusnya.
       "Apa yang aku dah buat ni?, kenapalah tidak sahaja aku beritahu yang "I like at all in this class", adui aku mula rasa bersalah. Tentu dia malu tadi.

       Selesai permainan itu, aku duduk di tempatku. Kumpulanku dinobatkan sebagai pemenang. Belum sempat aku hendak merasa senang tiba-tiba ada lagi kejutan...  aku tersipu bila tiba-tiba namaku dipanggil oleh Mr. Govi. Selesai permainan loceng tamat persekolahan pun berdering. Semua murid boleh pulang kecuali aku. Aku terpinga, wajah guru India di depanku nampak serius. Apa yang aku dah biuat?, ada apa-apa kesalahan ke yang telah aku lakukan?, pelbagai pertanyaan bermain di mindaku. Aku berdiri di tepi dinding sementara cikgu itu mundar mandir di depanku. Aku menanti penuh gugup. Aku merenung hujung kasutku terasa seperti aku sedang menunggu keputusan di mahkamah.

       "Do you have a proplem?", aku mengangkat muka. Cikgu Govi di depanku masih mundar mandir. aku menggeleng lemah. Baru aku teringat semasa Languange Games tadi Junaidah ada mengajukan soalan samada aku ada masalah. Aku selamba menjawab "I have many problem"...  tak sangka rupanya diambil perhatian sebegini rupa. Sebenarnya aku ada masalah kewangan. Akhir-akhir ini emak tidak dapat ke ladang kerana melahirkan adik aku yang kelapan. Oleh sebab itulah aku tidak dapat membayar yuran SPM. Sedangkan sudah beberapa kali guru kelasku memintanya dan waktu akhir bayarannya pun sudah hampir tiba.

       "Awak ada masalah duit ke?", macam tahu-tahu sahajalah cikgu ni, bisik hati kecilku. Aku geleng tak tahu kenapa. Dalam hati ini, hendak sahaja aku ceritakan semuanya namun perasaan malu masih menebal.
       "Masalah peribadi?", aduhai macamana ni, aku angguk pula tiba-tiba. Aduhai memang cari penyakit betullah aku ni.
       "Okey, kalau tak mahu cerita dengan saya tak apa, awak boleh cerita dengan cikgu-cikgu lain. Esok waktu rehat saya nak jumpa".

       "Aik!...  menung apa lagi ni?", aku tersentak. Suamiku merenung ke mataku mencari jawapan. Aku terkesima lagi dan kubiarkan semua soalan itu berlegar-legar tenggelam dalam denyut bunyi enjin kereta.

       "Emak!, cikgu dah minta yuran SPM", emak membuka mata sambil tangannya masih lagi menepuk-nepuk punggung si kecil. Kulihat emak bangkit dari baringnya. Rasa kesal pula bila mengganggu emak begitu. Lagipun emak baru sahaja bersalin beberapa hari yang lalu.
       Anak mataku menyoroti langkah emak yang keluar dari pintu belakang. Aku berlari ke tingkap memerhatikan gelagat emak yang di luar dugaanku. Rupanya emak ke rumah Kak Lah jiran sebelah rumah. Emak duduk di atas tangga rumah Kak Lah. Emak membicarakan sesuatu, kulihat Kak Lah masuk ke dalam rumah seketika dan keluar semula membawa sesuatu di dalam genggamannya.

       "Nah! ambil ni!". Emak menyuakan segumpal duit kertas kepadaku. aku mengambilnya tanpa sepatah kata. Emak kemudian berbaring semula di sebelah si kecil yang tiba-tiba menguit manja, seolah-olah tahu yang emak sedang berada di sisinya.

       "Aik...  masih nak naNgis lagi?". aku tersenyum. air mata yang hendak menitis kutahan dengan hujung jariku. Suamiku memandang aku dengan satu jelingan.

       "Terima kasih emak", ucapku sepatah sebelum masuk ke bilikku untuk menyimpan wang tersebut. Hatiku berbunga kelegaan kerana tidak payah lagi hendak bersoal jawab segala macam pertanyaan guru kelasku nanti. Alhamdulillah.

       Selang beberapa hari berikutnya kulihat apak sedikit kecoh. Rupanya apak baru sedar yang tarikh tutup bayaran yuran SPM telah tamat. Dalam kelasku hanya aku dan Muhammad yang lambat membayarnya, tetapi apak sahaja yang belum tahu yang aku sudah membayarnya sebaik sahaja emak memberinya padaku tempohari.
Rupanya apak mahu ke sekolah bersama ayah Muhammad untuk meminta penangguhan bayaran yuran SPMku. aku terharu sangat.
       
       Bila mendapat tahu yang apak hendak pergi ke sekolah bersama pak cik Moin, aku terus berlari menuju ke simpang empat. Selalunya di situlah tempatnya menunggu kenderaan awam. Nasib baik aku sempat sampai pada waktu yang tepat. Ketika aku sampai apak sedang memegang pemegang pintu kereta. Setelah aku jelaskan semuanya apak tidak jadi pergi sebaliknya pulang ke rumah bersamaku.

       Setelah emak menjelaskan semuanya kepada apak, apak menarik nafas lega. Tanpa kuduga apak bergegas ke rumah jiranku. Kali ini suaminya Abang Mat yang keluar. Dari tingkap dapur dapat kudengar butir bicara apak yang mengucapkan terima kasih kerana telah sudi memberi pinjaman buat membayar SPMku. Aku terharu kerana fikirku apak sudah lupa akan tanggung jawabnya. Rupanya apak tidak begitu. Aku terharu, bergenang air mataku menyaksikan semua itu di depan mataku.

       "Bukan nangislah, habuk masuk mata", aku berdalih. Sebenarnya aku malu kalau suamiku tahu aku menangis, nanti diajuknya aku.

       "Yelah!..  kereta buruk banyaklah habuk", nadanya merajuk.
       "Buruk-buruk pun lepas ke Pahang ni". Usulku. Memang perjalanan dari perak ke Pahang terasa amat jauh. Namun..  aku tetap bersyukur biarpun dengan van buruk ini kami lepas ke mana saahaja. Terlalu banyak jasanya kepada kami sekeluarga. Aku mengesat mataku yang berair, sambil memerhatikan ke luar tingkap. Petang sudah mula mahu berganti malam.

       Tiba-tiba aku terjerit kecil apabila suamiku sengaja tidak memegang stereng, ketika itu kereta kami sudah pun melalui Jalan Pahang, sebentar lagi kami akan sampai ke rumah.
       "Saja, seronok dengar isteri abang ni menjerit". Selepas itu satu cubitan singgah ke pehanya. Dia juga terjerit. Aku memandang ke belakang melihat dua puteriku yang nyenyak.
       "Saja seronok, dengar abang menjerit", balasku. Kami akhirnya sama-sama ketawa kecil. Pokok-pokok yang menghijau di luar kenderaan terasa turut tertawa. Dalam pada itu hatiku menjerit memanggil-manggil nama emak dan apak. Terlalu banyak jasa mereka kepadaku. Aku jadi bersalah sebenarnya. Namun segala-galanya keuserahkan pada yang kuasa.  Aku bersyukur sangat kerana adik-adikku juga sering pulang menjengah emak dan apak. Mereka sentiasa ada bila keadaan memerlukan.
       
       Aku menarik nafas lega bila van kami berhenti di depan rumah. Kami tiba dengan selamatnya. Alhamdulillah...  esok akan kuteruskan lagi kehidupan biarpun dalam hati ada sebuah pilu.

       
       

       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan