Rabu, 25 September 2013

       Pada mulanya aku agak keberatan untuk pergi ke Putrajaya atas jemputan yang julung-julung kalinya kuterima. Rasa teruja, terharu bercampur aduk dalam jiwaku yang kerdil ini. Namun bila memikirkan peluang ini bukan selalu datang dalam hidup akhirnya aku membuat keputusan untuk pergi. Setelah kukhabarkan keputusanku itu suamiku agak terkejut pada mulanya, yelah.. melihat kepada keadaanku yang dah sarat begini dia seperti tidak yakin dengan keputusanku. Alhamdulillah akhirnya dia memberi kata putus untuk bersamaku pergi ke Putrajaya. Dalam hati berbung-bunga keindahan yang kucipta sendiri.

       Awal pagi lagi kami bertiga sudah bangun mencampak selimut ke tepi. Puas juga mengejutkan si bongsuku Zulaiqha, maklumlah jam baru menunjukkan ke angka 4.00 pagi. Sebenarnya sepanjang malam mataku tidak mahu lelap. Geli hati pun ada, mungkin akibat terlampau teruja aku susah nak melelapkan mata. Bila aku cuba memejamkan mata aku meracau-racau. Apa-apapun dalam hati kecilku berdoa agar segala rancangan kami berjalan dengan baik. Kami bersiap dengan ala kadar sahaja. Tidak lupa keperluan bayi dibawa bersama, manalah tahu tiba-tiba aku terasa nak bersalin di pertengahan jalan nati. Oh! tidak harap-harap semuanya berjalan dengan baik.

       Sepanjang perjalanan yang masih sunyi dan dingin itu, aku hanya melelapkan mata, membiarkan tersayang memandu keseorangan, selalunya ada-ada sahaja perkara yang dibualkan namun dek rasa mengantuk yang menghantui aku melayan mataku. Sesekali aku terjaga sambil memerhati sekeliling untuk memastikan sudah sampai di mana. Si bongsu aku pula asyik tidur di tempat belakang. Rasa mengantuk benar-benar menghantuiku kerana sepanjang malam tadi aku langsung tidak dapat melelapkan mata.

       Bila aku membuka mata sahaja perutku memulas. Jam sudah berganjak ke angka 7.00 pagi.Kami rupanya sudah tiba di R&R sungai Buluh. Aku melepaskan qada hajat dan bersolat subuh di musolla yang terdapat di situ. Hari sudah menjelang siang. Hirik pikuk sudah terasa. Aku menukar tudung lain dan bergegas masuk ke kereta untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang hendak dituju.

       Tepat jam 8.00 pagi kami sudah berada di sekitar Putrajaya. Wah! cantik sungguh bangunan-bangunan di kiri kanan kami seolah-olah sedang menyambut kedatangan kami. Jambatannya yang indah memukau pandanganku. Mataku yang tadi layu terbeliak memerhatikan semua keindahan di situ. Kami berlegar-legar mencari seperti di alamat kad jemputan. Akhirnya...  kami berjaya menemui tempat yang ingin kami tujui. Suamiku tersenyum lebar namun ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Aku dan suamiku sedang melalui fenomena yang sama, aduhai kami berdua rasa nak buang air besarlah pulak. Rasa yang susah untuk ditahan lagi, padahal tadi aku sudah pun melepaskannya di R&R Sungai Buluh. Lagi pun waktu masih awal, kenderaan kami menyusur keluar menuju ke Masjid Besi. Wah! leganya selepas selesai semuanya. Sempat kami menarik nafas lega sambil menyaksikan pemandangan demi  pemandangan di sekitar masjid besi tersebut.

       Perjalanan di teruskan, namun inilah yang dinamakan ujian. Setelah berpusing hampir 10 kali kami tidak menemui titik pertemuan dengan tempat yang kami nak tuju. Rasa hampa sangat. Suamiku sudah berputus asa nampaknya kerana kenderaan kami akan tiba ke tempat yang sama. Asyik-asyik bangunan Wisma Tani yang kami jumpa. Puas kami pusing dan masuk segala simpang balik-balik bangunan Wisma Tani yang kami tuju. Aduh!... aku pula yang terasa penatnya. Suamiku sudah mengeluh panjang. Perut pula sudah terlalu lapar. Bayangkan tidak ada setittik air dan secubit makanan pun yang masuk ke perut dari tadi. Aku memerhati wajah suamiku dengan rasa yang sukar diterjemahkan. Antara rasa kecewa dan teruja bercampur baur.

       Jam sudah menunjukkan ke angka 9.00 pagi. Sebentar sahaja lagi acara akan bermula. "Macam ni jelah".. tiba-tiba suamiku bersuara. Aku menanti kata-kata seterusnya. Zulaiqha sudah merengek kelaparan."Kita masuk jer simpang mana-mana yang belum kita masuk, jumpa kedai makan kita makan... pastu kita balik". Aku menelan ludahku sendiri. Terasa kalimat itu sungguh kejam membunuh harapanku yang sejak tadi kembang. "Tak nak!!".. jeritku dalam hati. 

       "Macam nilah bang", aku pula yang menyusun agenda. "Mari kita berdoa,, Allah pasti akan dengar", usulku penuh yakin. Suamiku terdiam, wajahnya mencuka mungkin keletihan. "Ya Allah dengan berkat kalimat ini Allahhumma solli Ala Saiyidina Muhammad, Wa Ala Ali Saiyidina Muhammad...  jumpalah tempat yang hendak kami tuju. Amin". Aku mula berdoa dengan kuat. Suasana dalam kenderaan sunyi sepi, masing-masing melayan perasaan masing-masing. Aku yakin doaku itu makbul kerana perkara seumpama ini pernah aku lalui dan doa seperti inilah yang aku baca bila berdepan dengan situasi begini ianya berhasil. Apa yang penting ialah keyakinan. 

       Alhamdulillah berkat apa yang kudoakan, tidak berapa minit kemudian, tiba-tiba dari jauh ternampak dengan jelas tempat yang hendak kami tujui. Rasa lapar yang menggigit diri kami lupakan. Sempat juga kami mengambil 4 bungkus biskut mini yang berserakan di dalam kereta Proton Exora milik adik iparku yang kami pinjam itu. Akhirnya... kami mengambil keputusan untuk terus menuju ke tempat yang kami nak tujui itu. Biarpun dalam keadaan lapar. Mungkin ada hikmah di sebalik semua kejadian ini. Dalam diam aku mensyukuri nikmat Tuhan kerana akhirnya kami berjumpa juga tempat yang ingin kami tujui dengan mudah setelah doaku tadi. Aku mempelajari sesuatu...

       Setelah mendaftar diri kami bertiga dijemput masuk ke dalam dewan. Mungkin ketibaan kami yang masih awal itu membolehkan kami memilih tempat duduk yang kami sukai. Sebaik kami duduk, aku mula menyelak helain buku tebal yang ada di tangan. Rasa bangga sangat bila buku setebal itu sudah menjadi milikku. Suamiku pun tumpang gembira untuk aku. Tidak henti-henti dia tersenyum ke arahku sementara si bongsuku yang pendiam itu cuma memerhati gelagatku, sampai kami terlupa pada kelaparan yang sedang kami rasai. Aku tersenyum puas bila membaca sajakku di halaman 161 berjudul "Dalam satu paksi".Sedang asyik menghayatinya aku dihampiri 2 orang wanita yang mempersilakan aku ke depan. Mereka menyuruh aku duduk dengan barisan penulis yang lain. Tergamam sekejap. Penuliskah aku ni? tiba-tiba aku menyoal diri.

       Setelah kami bertiga duduk di barisan depan bersama para barisan penulis yang lain, sambil itu aku mengunyah biskut yang kami sempat ambil dari kereta adik iparku Linda tadi.Terasalah kenyang sedikit biarpun tanpa minuman. Di situ terlihat dua tiga orang yang kukenali iaitu Mas On. Encik Zabidin dari Karyawan Perak dan Puan Norazimah dari Gapena. Untuk menegur mereka terasa seganlah pulak, maklumlah aku pun baru sahaja mengenali mereka melalui face book. Apa-apapun aku hanya menjadi pemerhati. Ada yang berpeluk-pelukan mesra, bertanya khabar. Semuanya kelihatan gembira, aku.. sekadar memerhati.

       Acara pun bermula bila diumumkan ketibaan YAB Datuk Ahmad Shabery Chik. Lagu Negaraku dinyanyikan oleh koir semua hadirin berdiri tegak. Selesai lagu Negaraku dinyanyikan kami semua duduk dan diikuti dengan lagu Tanah Tumpahnya Darahku. Nyanyian yang penuh semangat itu menaikkan semangat patriotik dalam diri. Bacaan doa dimulakan dan diikuti dengan kata-kata aluan dari tuan rumah. Sesudah itu YAB Datuk Ahmad Shabery Chik pula berucap. Banyak juga perkara yang disentuhnya termasuklah isu kematian Chin Peng, tentang susah payah keadaan sebelum merdeka. Bertuahnya kita semua kerana lahir dalam keadaan negara yang sudah merdeka. Akhirnya beliau merasmikan majlis pelancaran buku tersebut. Bermacam gimik dipamerkan. Pemberian buku dijalankan kepada wakil yang menerima.

       Paling mengujakan bila penyampai sajak mendeklamasikan puisi Datuk Kamala yang panjang lebar. Aku terpegun, yelah inilah pertama kalinya aku menikmati pengalaman sebegini. Semangatnya terpancar dalam auranya yang tersendiri. Setiap kata-kata yang terbit dari pendeklamasi puisi itu kuhayati. Wah!... terasa jiwaku bersatu dengan puisi tersebut.Jeritan Merdeka! mengakhiri deklamasinya. Acara seterusnya berjalan lancar dengan lagu-lagu patriotik.

       Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Aku sampai telupa pada perut yang lapar. Jam sudah menjangkau ke angka 11 pagi. Setelah semuanya selesai aku memberanikan diri berjumpa Puan Norazimah. Sangkaku tentu dia tidak mengenaliku, maklumlah kami bukan pernah kenal pun hanya melalui fb sahaja, itu pun kerana Laman Loceng. "Hmmm... zaiton kan?", soalnya saat aku pertama kali menegurnya. Aku mengangguk dan sempatlah kami bergambar bersama rakan penulis yang lain. Semua itu cukup indah kurasakan. Kuabadikan segalanya dalam memori yang amat manis untuk kukenang kembali.

       Semua hadirin dijemput menjamu selera ke tempat yang telah disediakan. Hmm... kami bertiga yang sememangnya dalam mood lapar apalagi, tidak melengahkan masa terus menapak ke dewan makan yang terbuka itu. Kemahnya yang cantik dan semua makanan yang ada sungguh menyelerakan. Kami kekenyangan juga akhirnya. Sebelum melangkah pulang kuabadikan sekeping lagi gambar bersama puteriku Zulaiqha di mercu tanda Komunikasi di situ. Inilah pengalaman yang paling hebat pernah kulalui. Alhamdulillah rasa bagaikan mimpi, siapa sangka perempuan hamil 8 bulan sepertiku boleh sampai ke Putrajaya. Wah!... hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Buat suamiku terima kasih banyak-banyak kerana sudi sama-sama melalui pengalaman indah itu bersamaku. Mungkin selepas ini akan ada lagi momen yang semanis ini. Amin..










Tiada ulasan:

Catat Ulasan